INDEX THE BAKA TWEET ASK FOLLOW INSTA

Tuesday, May 3, 2011

Tutup Aurat Biar Sempurna ;)


Sungguh mengagumkan apabila fesyen terutama untuk wanita membuka ruang diskusi dan perdebatan, dari pentas peragaan di Paris dan New York hingga kepadang pasir berkerikil di negara Arab mengenai pakaian lelaki dan wanita sama ada dipandang dari sudut negatif atau positif.
Beberapa tahun lalu, perdebatan berkisar isu pakaian wanita Islam hebat diperkatakan dan aspek yang sangat mempesonakan ialah kebanyakan perdebatan itu didominasikan bukan Muslim.
Kepada sesetengah pihak, wanita bertudung lingkup dari kaki hingga kepala didakwa sebagai satu penindasan, manakala yang lain cuba memahami logik yang tersirat di sebaliknya, sementara bakinya tidak mempedulikannya malah berpendapat penerimaan cara berpakaian hak individu.
Sesuatu pakaian boleh dikatakan fesyen atau tidak bukannya berdasarkan faktor negara semata-mata. Jika anda dari Afrika Barat, contohnya warna terang, pakaian panjang dan aneka hiasan lazimnya mendominasi fesyen pakaian.
Jika anda dari Pakistan, mungkin menjadi cantik dengan 'salwar kameez' (baju dan seluar yang longgar) yang ditakrifkan sebagai sentuhan menarik. Tetapi sekiranya anda mengenakan gaya berfesyen ekstrem dari Barat, norma atau kebiasaan yang perlu dibayar terlampau mahal harganya.
Beberapa tahun lalu, kita mendapati peningkatan bilangan remaja perempuan Islam mengenakan tudung untuk menutup kepala dan berpakaian dengan gaya sederhana.
Walaupun ia mungkin menjelakkan bagi golongan yang cenderung kepada 'kebebasan' dalam berfesyen, aliran itu semakin meningkat.
Ketika fesyen golongan lelaki tidak mendapat perhatian sebagai tajuk besar, fesyen wanita adalah sebaliknya mempunyai pengaruh kuat dalam hubungan sosial dan ekonomi.
Jika kita menyelidik lebih dalam, kita akan menemui sejumlah wanita Islam yang cenderung kepada pakaian sederhana.
Kita juga akan menemui wanita mengenakan tudung kerana pelbagai sebab dan alasan.
Di kebanyakan negara majoriti penduduknya Muslim, terutama negara Arab, transformasi kepada kesederhanaan berpakaian menunjukkan peningkatan dramatik beberapa tahun kebelakangan ini.
Anda boleh terus menyelidiki senario ini, bilangan wanita memakai tudung kerana menjadi amalan masyarakat dari generasi ke satu generasi, wanita memakai tudung kerana sebahagian daripada fesyen atau mereka mengubah suai sehingga mewujudkan pelbagai gaya pemakaian tudung.
Kemudian, anda juga boleh menemui keseimbangan wanita yang mengutamakan kepercayaan agama, malah memahami kepentingannya dan oleh kerana itu memilih untuk memakai tudung.
Jika kita menoleh ke perbatasan Indo-Pakistan, ada kecenderungan berbeza dalam aspek ini. Pakaian wanita lebih sederhana, sama ada dengan 'salwar kameez' atau 'sari'.
Tetapi di kalangan masyarakat Islam, wanita juga ada kelihatan tidak menutup kepala atau menutupinya secara acuh tidak acuh. Di sini mungkin ada alasan berbeza, tetapi secara asasnya menutup kepala secara sempurna adalah tanggungjawab beragama.
Adakah anda pernah bertanya pada diri anda. "Kenapa saya memakai pakaian begini? Adakah bagi mematuhi peraturan agama kerana pengaruh budaya atau sosial? Kemudian, apakah cita rasa cara berpakaian anda dipengaruhi agama yang anda anuti, kewarganegaraan anda, atau masyarakat anda? Apakah anda juga dipengaruhi aliran fesyen tempatan atau antarabangsa?
Maryam, 19, dari Ghana, berkata jika mengikut budaya wanita di negaranya, mereka mengenakan pakaian panjang dan menutup kepala.
"Tetapi dengan semua yang berlaku seluruh dunia, kini saya mempunyai banyak persoalan dan mahu mengetahui agama lebih baik.
"Saya mula memakai hijab dan berasakan lebih banyak kebaikan mengenainya. Walaupun tiada yang ingin mendekati saya dan ini mungkin satu masalah, menutup kepala adalah tuntutan agama dan budaya. Saya memilihnya kerana tuntutan agama," katanya.
Ruqayya, 22, dari Afrika Selatan, yang menggemari fesyen pakaian, berkata sebelum ini dia berpendapat aktiviti berfesyen bercanggah dengan agama.
"Tetapi sekarang saya tidak berfikir demikian. Saya percaya anda dapat memberikan komitmen kepada agama dan terus berfesyen, selagi anda memenuhi tuntutan syariat dan kod pakaian yang ditetapkan Islam.
"Hanya dua tahun lalu, saya mula berfikir mengenai hijab," katanya yang sentiasa berpakaian sederhana (baju labuh dan berseluar atau berkain labuh).
"Saya mahu menutup rambut dan saya suka berbuat demikian dalam majlis tertentu. Saya tahu ia tidak sepatutnya dalam majlis tertentu. Bukan bermakna saya enggan memakainya, tetapi apabila saya mahu memakainya, saya mahu niat saya ikhlas," katanya.
Huda, 16, dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), berkata: "Saya berfesyen untuk menarik hati.
Memang bukan begitu sepatutnya, tetapi saya hanya menjelaskan sikap jujur saya." Dia bukannya mengenakan pakaian untuk menunjuknunjuk, tetapi dia memang suka kepada aksesori dan kelihatan anggun.
"Saya tidak kisah apa yang rakan saya fikir terhadap pakaian saya. Saya suka pujian dan berbual mengenai fesyen terbaru," katanya.
Mengenai fesyen, secara langsung atau tidak, secara sedar atau tidak, orang akan sentiasa terpengaruh dengannya. Aliran fesyen bergerak pantas dan ramai remaja mendapati mereka tertekan apabila mahu menyesuaikan diri dengan gaya fesyen terkini.
Tetapi segelintir dapat menenangkan diri mereka daripada menghadapi kekalutan itu.
Ketika sesetengah memberikan alasan, fesyen membuatkan orang kelihatan anggun, sebaliknya ia juga boleh membawa masalah apabila ia mempengaruhi harga diri orang.
Penting untuk mengetahui alasan anda berpakaian sedemikian. Dengan cara itu, anda dapat menerima pilihan gaya anda dengan alasan munasabah. Apa yang penting pakaian anda menepati hukum Allah.

0 glittering star: